UIAM guna sistem BSC capai matlamat pelan strategi

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yakin pelaksanaan sistem (BSC) yang diperkenalkan sejak 2004 berkesan dalam memastikan matlamat pelan strategi universiti itu tercapai.

Keyakinan itu berdasarkan perubahan ketara dicapai universiti itu selepas empat tahun pelaksanaan BSC yang menyaksikan pendapatannya bertambah 40 peratus, selain peningkatan 400 peratus perolehan geran penyelidikan.

Dekan Pejabat Strategi Korporat dan Jaminan Kualitinya, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar, berkata kejayaan lain ialah peningkatan dua kali ganda produk berjaya dipatenkan dan jumlah penerbitan yang membanggakan.

Selain pengiktirafan 40 peratus kulliyyah di UIAM sebagai pakar dalam bidang masing-masing berbanding kurang 10 peratus sebelum ini, katanya, pelaksanaan BSC membolehkan institusi itu mengintegrasikan pelbagai sistem lain bagi menghasilkan laporan lebih tepat mengenai pencapaian universiti.

“Penggunaan sistem BSC diperkenalkan sejak 2004, bermula di Bahagian Korporat dan Fakulti Kejuruteraan sebelum diperluaskan secara berperingkat ke setiap bahagian dan fakulti di UIAM.

“Kini, sistem ini dilaksanakan secara menyeluruh dan setiap jabatan serta kulliyyah mempunyai perancangan masing-masing yang mendukung kepada pelan strategi korporat universiti.

“Contohnya di Jabatan Pentadbiran Kewangan, objektif kita adalah mendapatkan dana mencukupi bagi menampung operasi dan pembangunan universiti. Justeru, pelbagai strategi dirancang membabitkan semua kakitangan,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

UIAM baru-baru ini diiktiraf sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) ketiga dunia dan pertama di rantau Asia Pasifik meraih Anugerah Balance Score Card (BSC) Hall of Fame for Executing Strategy berikutan kejayaan menggunakan pendekatan dan metodologi BSC.

Kejayaan itu turut menjadikan UIAM sebagai organisasi pertama di Malaysia meraih anugerah berprestij itu.

Mohd Azmi berkata, pendekatan BSC membolehkan skala pencapaian universiti dapat dikenal pasti, sekali gus memastikan status pencapaiannya mengikut perancangan.

Katanya, UIAM akan terus meningkatkan keupayaan serta potensi penyelidikannya secara optimum dan efektif untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sebuah negara maju.

“Biarpun aktiviti penyelidikan di UIAM belum lagi menyeluruh, kita dapat lihat perkembangan positifnya berdasarkan kejayaan penyelidik meraih pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Share and Enjoy:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Facebook

About the Author
Nickname : szakif (Click to see other posts)
Blog : http://szakif.blogspot.com
About:
Number of post : 30 post(s)

Post a Comment