Skip to content
 

Aidiladha: Ketaatan Dan Ujian

Assalamualaikum wbt.

Saban tahun, kita merayakan Aidiladha. Darah-darah haiwan sembelihan ditumpahkan. Cerita kisah Nabi Ibrahim menjadi santapan telinga kita.

Masakan kita lupa, nabi Ibrahim AS dengan rela hati, tanpa keraguan, menyerahkan sepenuhnya kepada Allah, apa sahaja yang Allah perintahkan nescaya akan dilaksanakan. Hinggalah tibanya satu ujian, Allah mengarahkan Nabi Ibrahim AS mengorbanka anak beliau sendiri.

Satu ujian yang berat. Nabi Ibrahim taat, tanpa banyak bicara atau banyak soal. Perintah yang Maha Agung dilaksanakan.

Maka, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dengan kekuasaannya yang tiada siapa dapat menandinginya, telah menukarkan anak Nabi Ibrahim yang ketika itu sedang disembelih oleh Nabi Ibrahim menjadi kibas.

Inilah lambang ketaatan Nabi Ibrahim AS.

Inilah satu pengajaran buat kita semua. Marilah kita memeriksa diri kita. Apakah ketaatan kita kepada Allah dan rasulNya seperti ketaatan Nabi Ibrahim AS?

Apakah apabila kita membaca ayat-ayat al-Quran, menghayati hadith-hadith Baginda SAW yang sahih, maka kita terus dengan penuh tunduk dan ketaatan, kita berpegang bahawa “Kita dengar dan kita taat”.

Atau apakah di dalam diri kita ini, masih dibelenggu penyakit jahiliah. Ya penyakit orang-orang kafir yang apabila diseru kepada Islam, maka mereka menjawab “cukuplah dengan apa yang kami temui pada nenek moyang kami”.

Ya, penyakit ini merebak. Umat Islam terjerumus ke dalam lubang orang kafir. Apabila telah datang kepada kita ayat al-Quran dan sabda Rasulullah saw, kita terpinga-pinga, mahu memilih wahyu atau menuruti amalan nenek moyang kita.

Ya, apa salahnya. Kami berkumpul 3 malam ini, kenduri arwah apa salahnya. Apa salahnya kami lafaz Usolli sebelum solat. Ustaz-ustaz kami ajar sejak sekolah lagi.

Ah engkau ini, sikit-sikit bid’ah, sikit-sikit bid’ah. Nak ikut sunnah sangat, naik untalah.

Kita jauh dari ketaatan Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim AS menerima tuntutan Tuhan untuk menyembelih anaknya dengan penuh tawadhu’ da penyerahan diri kepada Tuhan. Tetapi, kita masih mahu mempertentangkan wahyu Tuhan dengan amalan budaya dan tradisi kita.

Kita mempertentangkan wahyu Tuhan dengan budaya-budaya moden. Kita meragui apabila wahyu Tuhan meletakkan garis panduan cara hidup kita. Kita berfikir-fikir, apakah sesuai wahyu Tuhan dilaksanakan di zaman moden ini.

Ya, masakan bisa aku bersolat lima waktu sehari semalam, tatkala rakan-rakan aku sedang bermesyuarat. Penting, untuk keuntungan besar syarikat.

Ah! Persetan sama tauhid. Sikit-sikit syirik, sikit syirik, aku mahukan Yoga untuk senaman, bukan untuk sembah berhala Hindu.

Panaslah. Pakai tudung bukan lambang kebaikan. Ramai sahaja yang bertudung tapi buat maksiat. Persetan lah dengan undang-undang aurat. Lihat! Barat mereka boleh memakai apa sahaja, mahu tayang punggung atau payudara, berseluar dalam biasa sahaja di muka majalah. Mereka maju.

Inilah kita. Jauh dari ketaatan Nabi Ibrahim. Anaknya disembelih dengan penuh ketaatan dan keimana. Tanpa mempertentangkan perasaan seorang bapa dengan arahan dari Tuhan yang Maha Agung.

Nabi Ibrahim di uji dengan ujian yang dahsyat. Bapa manakah yang sanggup menyembelih anak sendiri? Inilah ujian Allah untuk hamba-hamba beriman. Untuk kita sedar, sejauh manakah keimanan kita kepada Allah. Sejauh manakah kita yakin dengan janji-janji Allah.

Apakah kita menempuhi ujian Tuhan dengan penuh keredhaan dan tunduk. Atau kita asyik bersungut, memarahi Tuhan, menuduh Tuhan zalim.

Allah menghantar penyakit kepada kita, ia satu ujian untuk kita. Kita redha, maka ia baik untuk kita.

Allah hantar kesihatan kepada kita, ia satu ujian untuk kita. Kita syukur, maka ia baik untuk kita.

Allah beri kita kemiskinan, kita redha, maka ia baik untuk kita, tapi jika tidak redha, pintu kufur sudah di depan kita.

Allah bagi kekayaan kepada kita, kita syukur. Maka itulah kebaikan untuk kita.

Sejauh manakah kita menerima ujian Tuhan sebagaimana Nabi Ibrahim menerima ujian Allah?

Wallahua’lam

the-authenthic.blogspot.com

Edited by: Szakif

Picture source: http://mudeen.wordpress.com/2007/12/21/aidil-adha-datang-lagi/

masri has blogged 5 posts in IIUMbloggers.
Blog URL: http://lobaitampin.blogspot.com

Leave a Reply