Skip to content
 

UIAM perlu berubah untuk bersaing dengan IPT lain

GOMBAK 15 Mei – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu menerokai segala peluang dan kemungkinan yang ada supaya terus berdaya saing dengan universiti di dalam dan luar negara.

Presidennya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, UIAM kini telah kehilangan daya saing apabila lebih banyak IPT awam dan swasta sama ada di dalam dan luar negara terutama di peringkat serantau mula menggunakan bahasa Inggeris dalam aktiviti pembelajaran.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkata, sudah tiba masanya UIAM yang memiliki lebih 20 peratus pelajar asing dan sekitar 30 peratus tenaga pengajar dari negara-negara Islam luar negara berubah dengan menerokai peluang dan kemungkinan yang ada.

“Antaranya ialah kurikulum bersepadu Islam, sistem pengurusan kualiti bersepadu dan penggunaan kad prestasi seimbang dalam pengurusan sesebuah universiti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Kualiti UIAM 2009 yang menyaksikan para tenaga pengajar universiti berkenaan menerima anugerah di atas kecemerlangan kajian, penyelidikan serta bidang tugas masing-masing di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid.

Mengulas lanjut, Mohd. Sidek berkata, UIAM tidak boleh mengelak dari persaingan dengan IPT lain berikutan aliran semasa yang menyaksikan banyak IPT ditubuhkan bagi menawarkan pelbagai jenis kursus untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di negara ini.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohamad Fauzan Noordin yang mendapat anugerah penyelidikan terbaik berkata, pemberian anugerah itu menjadi pembakar semangat kepada ahli akademik agar terus gigih mencipta enemuan baru untuk pasaran dunia.

“Projek mencipta satu-satunya enjin carian Internet berteraskan Islam yang sedang saya usahakan ini diharap dapat menarik pengguna Internet Islam yang selama ini terpaksa bergantung dengan enjin carian Internet buatan Barat,” kata Mohamad Fauzan.

Taken from Utusan Malaysia 16 Mei 2009.

myadlan has blogged 119 posts in IIUMbloggers.
Blog URL: http://adlankhalidi.com

One Comment

  1. Drimba says:

    Ya inilah yang perlu ditekankan penciptaan juga perniagaan di UIAM bukan sekadar belajar teori dan cemerlang berdasarkan di atas kertas keputusan peperiksaan semata perlu amat diseimbangkan teroi juga praktikal seperti Al Quran teorinya dan Rasulullah praktikalnya. 9/10 punca pendapatan daripada perniagaan amat perlu dititikberatkan yang berkait rapat dengan penciptaan. Tidak perlu tunggu sehingga doktor falsafah baru berpeluang menjalankan penyelidikan dan penciptaan sebaliknya perlu bermula dari awal lagi di tadika hingga universiti bagi membudayakan penciptaan dan perniagaan berteraskan Islam sejati….Jika benar UIAM ingin menjadi yang terbaik perlulah berubah sepenuhnya dalam sistem pendidikannya dengan perbanyakkan buku rujukan terjemahan Muslim sendiri dengan penerapan nilai Islam dalam segala ilmu yang makin terpisah dan mendekati nilai barat sekarang ini dengan hanya merujuk buku-buku barat tanpa terjemahan ke dalam bahasa sendiri. Tekankan dan utamakanlah bahasa Arab itu sendiri sebagai bahasa utama ilmu sebagai bahasa penyatuan Muslim memahami Al-Quran tersurat dan tersirat untuk dimanfaat. Tidak dilupa martabatkan bahasa Melayu kerana jika warga tempatan atau luar negara tidak difasihkan dengan bahasa tanah air sendiri mana mungkin mereka akan menghormati adab dan budaya bangsa kita sendiri sebaiknya. Utamakanlah pendidikan dan penerapan nilai Islam sejati jangan hanya sekadar memikirkan keuntungan wang ringgit semata………

Leave a Reply