Skip to content
 

Brunei berminat contohi sistem pendidikan Malaysia

Saifuddin Abdullah (dua dari kiri) dan Dr. Awang Abdul Rahman Mohammad Taib menyaksikan Dr. Syed Arabi Aidid (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Dr. Yusop Awang Damit (kanan) pada majlis MoU antara UIAM dengan UNISSA, semalam.

Saifuddin Abdullah (dua dari kiri) dan Dr. Awang Abdul Rahman Mohammad Taib menyaksikan Dr. Syed Arabi Aidid (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Dr. Yusop Awang Damit (kanan) pada majlis MoU antara UIAM dengan UNISSA, semalam.


KUALA LUMPUR 19 Jun – Brunei berhasrat menjadikan modul sistem pendidikan tinggi Malaysia sebagai rujukan bagi pelaksanaan sistem pendidikan yang lebih berkualiti di negara itu.

Menteri Pendidikannya, Pehin Datuk Dr. Awang Abdul Rahman Mohammad Taib berkata, pembangunan serta kemajuan sistem pendidikan negara ini terutama di peringkat pengajian tinggi mengagumkan Brunei.

“Pencapaian ini akan menjadi rujukan kepada kami untuk turut melakukan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan di Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei, di sini hari ini.

MoU tersebut membolehkan UIAM dan UNISSA berkongsi kepakaran serta melakukan penyelidikan bersama.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Syed Arabi Aidid serta Rektor UNISSA, Dr. Yusop Awang Damit.

Terdahulu, Abdul Rahman serta delegasi mengadakan lawatan ke Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk Persekitaran serta Fakulti Kejuruteraan UIAM.

Sementara itu, Saifuddin berkata, MoU yang ditandatangani itu selaras dengan dasar kerajaan untuk mengantarabangsakan universiti tempatan.

“Saya melihat MoU ini satu yang komprehensif kerana melibatkan pertukaran tenaga pengajar yang pakar, pertukaran pelajar serta membuat penyelidikan bersama.

“Ini penting kerana UIAM dapat memanfaatkan kepakaran yang ada dengan bantuan UNISSA untuk muncul sebagai universiti penyelidikan,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

myadlan has blogged 116 posts in IIUMbloggers.
Blog URL: http://adlankhalidi.com

Leave a Reply