Skip to content
 

Belia Islam antarabangsa sertai ibadah korban

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Ibadah korban sempena Aidiladha yang masuk hari ketiga digunakan oleh Pertubuhan Belia Islam Sedunia (WAMY) Malaysia untuk merapatkan hubungan ahli-ahlinya dengan penduduk tempatan.

Untuk tujuan itu, hampir 30 ahli pertubuhan berkenaan mengambil bahagian dalam ibadah korban yang dianjurkan WAMY Malaysia di pekarangan pejabatnya di Ampang hari ini.

Ia merupakan pengalaman pertama ahli-ahli pertubuhan itu yang berasal dari Pakistan, Arab Saudi, Indonesia, Mesir, Syria, Sri Lanka, China dan Afrika melakukan ibadah korban bersama rakyat tempatan.

Pengarah Eksekutif WAMY, Abd. Haris Bain ketika ditemui pada majlis itu berkata, pelaksanaan program itu bertujuan memberi peluang kepada belia Islam tempatan dan dari luar melaksanakan syiar Islam.

“Kita mempunyai ahli belia Islam dari seluruh dunia yang datang ke negara ini untuk belajar.

“Untuk merapatkan hubungan mereka dengan penduduk tempatan, kami menganjurkan ibadah korban bermula tahun lepas,” katanya.

Jelas Abd. Haris, sebanyak 29 ekor lembu dikorbankan hari ini melalui tajaan bernilai RM65,000 oleh WAMY Arab Saudi.

Menurutnya, daging korban tersebut akan diagih-agihkan kepada komuniti antarabangsa seperti pelarian Somalia, Palestin, Syria dan Mesir yang berlindung di negara ini.

Diaa Musa

Diaa Musa


Sementara itu seorang peserta, Diaa Musa Diad Al-Juneidi, 25, berkata, pada majlis itu dia diberi peluang menyembelih seekor lembu dan ia merupakan pengalaman pertama baginya.

Menurut mahasiswa Sarjana Pengurusan Perniagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, ia merupakan pengalaman yang tidak dapat diperoleh di negara asalnya iaitu Palestin.

“Jika di Palestin, penyembelihan dilakukan oleh peniaga daging.

“Kemesraan yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan sepanjang aktiviti ini amat memikat hati saya,” katanya.

Diaa Musa yang juga Presiden Kelab WAMY Pelajar Antarabangsa Malaysia berharap agar kemesraan yang terjalin akan terus berkekalan.

Anas Ismaiel

Anas Ismaiel

Bagi Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM, Anas Ismaiel Tulib, 21, yang berasal dari Mesir, sambutan Aidiladha di Malaysia amat berlainan berbanding negara asalnya.

“Ia merupakan satu perasaan yang sangat baik apabila dipelawa turut serta dalam aktiviti sebegini,” katanya.

Anas yang fasih berbahasa Melayu berharap kerjasama dan hubungan yang erat dengan penduduk tempatan dapat dikekalkan sekali gus dapat merapatkan kedua-dua negara.

Su Qin Fatimah

Su Qin Fatimah


Sementara itu Su Qin Fatimah, 21, yang berasal dari Xin Jiang, China berasa agak terkejut dengan keramahan dan kemeriahan sambutan Aidiladha di negara ini.

“Ini merupakan kali pertama saya melihat dan menyertai ibadah korban di Malaysia.

“Saya agak terkejut dengan kemesraan yang ditunjukkan rakyat negara ini seolah-olah saya bukan berasal dari luar,” katanya.

Sumber: Utusan Online

myadlan has blogged 119 posts in IIUMbloggers.
Blog URL: http://adlankhalidi.com

Leave a Reply