Skip to content
 

UIAM, TU jalin kerjasama korporat, pengajian pascaijazah

uiam-tu-arabi
SYED ARABI (kiri) bertukar dokumen dengan Abdulaziz Saud (kanan) di Gombak, baru-baru ini.

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meningkatkan hubungan dengan University of Tabuk (TU), Arab Saudi menerusi pemeteraian dua memorandum perjanjian (MoA) membabitkan bidang kerjasama korporat dan penjagaan kualiti serta pengajian pascaijazah.

Pada majlis itu, kedua-dua universiti diwakili rektor masing-masing iaitu Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid dan Prof Abdulaziz Saud Alanazy sambil disaksikan Dr Ahmad Alwahiti, Prof Dr Abdelaziz Berghout (penjagaan kualiti) serta Prof Dr Mohamad Aljuhani, Prof Madya Dr Hassanuddeen A Aziz (pascaijazah).

Dalam ucapannya, Syed Arabi, berkata sejak penubuhan UIAM, pihaknya banyak menerima sokongan kerajaan Arab Saudi dan hubungan terjalin sememangnya akrab, jadi melalui MoA itu, diharap banyak lagi kerjasama dapat dijalankan pada masa akan datang.

“Kerjasama ini memfokuskan khidmat nasihat serta menilai pelan strategik TU yang direncanakan selama 10 tahun, selain membantu universiti itu membina sistem pengurusan, pengajian pascaijazah, pentadbiran serta pertukaran kakitangan dan pelajar.

“Seramai 83 pelajar pascaijazah TU terdiri daripada pelbagai disiplin dijangka belajar di UIAM bermula tahun depan.

“Tempoh MoA ini adalah dua tahun, namun saya percaya dengan hubungan dua hala yang terjalin antara kedua pihak sejak sekian lama, kerjasama ini akan diteruskan serta dikembangkan kepada bidang lain,” katanya, di Gombak, baru-baru ini.

Hadir sama, Duta Arab Saudi ke Malaysia Mohamed Reda Abu Al-Hamayel; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UIAM, Datuk Hamidon Abd Hamid serta Timbalan Rektor Bahagian Akademik dan Penyelidikan UIAM, Prof Datuk Dr Md Tahir Azhar.

Sementara itu, Abdulaziz Saud, berkata diharap pihaknya dapat berkongsi pengalaman dengan UIAM dalam mengendalikan universiti berteraskan Islam.

“Kami baru beroperasi tiga tahun, jadi banyak perkara yang perlu diperkasakan dan kerjasama ini akan berterusan dengan skala lebih besar,” katanya.

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

Sumber

myadlan has blogged 119 posts in IIUMbloggers.
Blog URL: http://adlankhalidi.com

Leave a Reply