Skip to content
 

Lokasi Lepak – HS Kafe tempat temu janji selepas kuliah


Apabila bertanyakan tempat makan atau lokasi lepak paling popular di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, pasti jawapan yang diterima dari mahasiswa ialah kafe Fakulti Sains Kemanusiaan atau HS Kafe bagi pelajar tempatan, manakala kawasan lepak pelajar antarabangsa pula, pastinya Kyros Kebab yang jadi pilihan.

Bagi HS Kafe, tempat itu dilihat menjadi pilihan pelajar kerana lokasinya yang terletak di tengah-tengah kampus dan berhampiran dengan beberapa fakulti lain menyebabkan ramai pelajar memilih untuk makan atau menghabiskan masa melepak bersama rakan di situ.

Tidak kurang juga ramai yang berkunjung ke situ kerana menggemari pilihan menu makanan serta minuman yang ada terdiri daripada masakan panas, lauk pauk dan nasi untuk hidangan tengah hari serta pelbagai pilihan menu mi dan makanan ringan bagi mereka yang tidak mahu makan nasi.

Pelbagai pilihan minuman daripada jus, minuman panas dan sejuk juga boleh didapati di kafe berkenaan.

Namun, ada satu yang menarik perhatian di HS Kafe iaitu gerai yang menyediakan makanan ala mamak. Ada ketika pelajar beratur panjang untuk membeli makanan kegemaran mereka antaranya roti nan, nasi briyani dan teh tarik.

Penuntut tahun empat jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Muhammad Akmal Marzuqi, 24, berkata HS Kafe menjadi pilihan kerana ia terletak di tengah kampus yang dikeliling pelbagai fakulti lain antaranya fakulti seni bina, pendidikan, kejuruteraan dan juga sains kemanusiaan itu sendiri.

“Tempat ini memang menjadi antara lokasi yang perlu dikunjungi sekiranya datang ke UIA malah ramai ibu bapa yang datang ketika majlis konvokesyen memilih untuk berkumpul dan makan di sini. Tapi awas, jika nasib tidak baik dan datang pada waktu puncak, mungkin perlu menunggu lebih lama untuk mendapat tempat duduk kerana meja penuh berikutan terlalu ramai pengunjung.

“Begitulah hebatnya penangan HS Kafe ini yang biasanya penuh menjelang waktu makan tengah hari,” kata Akmal berseloroh.

Menceritakan mengenai pilihan menu yang ada, Akmal berkata, beliau dan rakan-rakan sering berkunjung ke kafe berkenaan kerana gemarkan makanan yang disediakan gerai mamak di kafe berkenaan.

“Saya suka teh tarik mamak. Rakan-rakan pula ada yang suka makan roti, ada juga yang gemarkan nasi briyani dan nasi putih dengan ayam goreng mamak yang dijual di gerai mamak berkenaan. Senang cerita, kami memang suka makanan yang dijual di gerai mamak itu dan harganya juga berpatutan untuk yang bergelar pelajar ini.

“Jangan tak percaya, ramai yang beratur panjang untuk beli makanan di gerai itu, tapi disebabkan layanan yang diberikan agak cepat, jadi pelajar tidak perlu menunggu lama untuk dapatkan makanan tengah hari mereka. Dipendekkan cerita, gerai mamak ini macam gerai makanan segera dalam UIA,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar antarabangsa pula, pastinya ramai yang memilih untuk lepak atau makan di Kyros Kebab yang juga terletak berhampiran HS Kafe.

Pelbagai makanan Arab dijual di lokasi ini sekali gus menjadikan ia tempat makan pilihan untuk pelajar antarabangsa yang datang dari negara TImur Tengah seperti Iraq dan Arab Saudi kerana kebanyakan menu yang disediakan lebih kurang sama dengan apa yang ada di negara mereka.

Pelajar tahun dua Fakulti Linguistik, Lubabah Layth, 19, dari Iraq berkata walaupun restoran Kyros Kebab hanya sebahagian daripada kawasan pilihan untuk lepak dan makan di kalangan pelajar antarabangsa itu, namun keseluruhan kawasan berkenaan lebih senang dikenali dengan nama Kyros Kebab.

“Walaupun bukan keseluruhan restoran yang ada di sini adalah restoran Kyros Kebab tetapi jika rakan tanya ingin jumpa atau lepak di mana, pastinya saya akan cakap Kyros. Saya suka lepak di sini kerana gemarkan hidangan Arab yang dijual di restoran Arab di kawasan ini.

“Makanan kegemaran saya ialah Falafel. Harga yang ditawarkan di sini agak berpatutan dan mampu dibeli oleh pelajar seperti saya.

“Saya juga gemar lepak bersama rakan di Kyros Kebab kerana lokasi dan persekitarannya yang mendamaikan dan menarik membolehkan saya melihat persekitaran UIA apabila berada di sini,” katanya.

Dalam pada itu, kemudahan WiFi yang disediakan turut memudahkan pengunjung melepak dan minum sambil melayari internet melalui komputer riba. Malah ramai pelajar yang mengambil kesempatan untuk menyiapkan tugasan pengajian atau mengulangkaji sambil menikmati juadah.

Berita Harian – Varsiti

admin has blogged 83 posts in IIUMbloggers.
Blog URL: http://iiumbloggers.com

2 Comments

  1. abyadh says:

    suka lepak kt edu or kaed cafe, kalau budak engin selalu lepak kat hs cafe tu memang seorang yang rajin huhu

  2. limaumaniss says:

    rindu nescafe mamak HS>..hehhe..kalau p uia tak sah kalau tak singgah HS…..

Leave a Reply