Skip to content
 

Pelajar pendidikan UIAM tuntut hak mengundi

Bahang pilihan raya kampus mula terasa apabila Pejabat Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) mengeluarkan notis rasmi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP/SRC) sesi 2009/2010.

Malangnya, Institut Pendidikan (INSTED) tidak mempunyai kerusi bahkan pada kali ini tidak layak untuk membuang undi. Jika pada sesi 2006/2007, INSTED mempunyai dua kerusi yang dipertandingkan tetapi bermula sesi 2007/2008 INSTED tidak mempunyai kerusi sendiri tetapi terpaksa berkongsi dua kerusi dengan Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS). Senario ini berlanjutan pada sesi pemilihan MPP 2008/2009.

Satu perkara yang tidak dapat diterima ialah INSTED dan IRKHS adalah dua kulliyah yang berbeza, mempunyai pentadbiran yang berlainan yang bukan saling bernaung antara satu sama lain.

Bantahan demi bantahan dilakukan oleh mahasiswa INSTED. Penghantaran memorandum bantahan pada sesi lepas menyebabkan pentadbiran UIAM membuka mata terhadap hak mahasiswa INSTED.

Timbalan Rektor HEP ketika itu, Datuk Hamidon Abd Hamid memaklumkan bahawa INSTED akan mendapat satu tempat dalam kabinet SRC 2008/2009 melalui lantikan rektor.

Namun, pentadbiran tidak mengeluarkan sebarang notis rasmi berkaitan perkara itu. Sekali lagi mahasiswa INSTED kecewa apabila pelantikan itu tidak dibuat. Akhirnya mahasiswa INSTED tetap tidak mempunyai wakil mereka sendiri dalam SRC sesi 2008/2009.

Dalam pilihanraya kali ini, mahasiswa INSTED tidak dapat bersama rakan dari kulliyyah lain membuang undi pada 21 Januari 2010. Tiada satu pun kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa pendidikan.

Menurut buletin mingguan Persatuan Mahasiswa Insitut Pendidikan (BEDSA) bahawa INSTED akan mendapat satu kerusi menerusi lantikan rektor. Buletin itu diedarkan kepada semua mahasiswa pendidikan tanpa ada notis rasmi berkaitan isu itu.

Tambah mengejutkan, sesiapa yang berminat untuk mengisi kerusi itu perlu memberikan nama kepada exco BEDSA tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada pentadbiran khususnya HEP UIAM mahupun Pejabat Timbalan Pengarah HEP INSTED.

Mahasiswa INSTED menuntut kembali hak mereka sama seperti mahasiswa di kulliyyah lain. Hak mengundi dan memilih pemimpin dari kulliyyah mereka sendiri, bukannya digabungkan dengan IRKHS ataupun lantikan rektor. Mahasiswa INSTED juga adalah sebahagian daripada komuniti Taman Ilmu dan Budi. Mereka juga membayar yuran pengajian yang sama seperti teman mereka di IRKHS.

Oleh itu, kembalikan hak mengundi dan memilih kepada mahasiswa INSTED atas nama demokrasi.

- MOHD FATEH
UIAM, Gombak, Selangor

Dipetik dari Berita Harian – Varsiti

admin has blogged 27 posts in IIUMbloggers.
Blog URL: http://iiumbloggers.com

Leave a Reply