Skip to content
 

Fesyen Jubah Muslimah – Pilihan mahasiswi tampil bergaya selesa, sopan, elak fitnah

Tuntutan masyarakat terhadap fesyen busana penuh kesantunan bukan sekadar menjadi suatu adat bahkan ia seiring dengan tuntutan agama.

Sejajar dengan tuntutan itu, trend pemakaian jubah kini semakin menjadi pilihan kalangan wanita termasuk mahasiswa universiti yang ingin tampil dengan gaya yang lebih selesa dan sopan.

Melangkah masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), fesyen jubah yang digayakan di kalangan mahasiswa perempuan bukanlah satu pemandangan yang asing sesuai dengan status UIAM sebagai universiti Islam.

Bagi mahasiswa Tahun Tiga, jurusan Pengajian Islam (Fikah), UIAM, Nihaz Fitriyah Mohd Yusoff, berkata pemakaian jubah begitu sinonim di kalangan mahasiswa universiti terbabit kerana ia bukan lagi pakaian hanya untuk golongan wanita berusia, sebaliknya untuk semua peringkat termasuk mahasiswa.

Katanya dia lebih selesa mengenakan jubah yang boleh digayakan dengan seluar kerana ia menyenangkan pergerakannya.

“Sebagai mahasiswa, saya kadang-kadang terpaksa berkejar dari satu bilik kuliah ke bilik kuliah. Dalam keadaan tergesa-gesa, jubah menjadi pilihan kerana ia hanya perlu disarungkan ke badan selain boleh dipakai ketika mahu bersolat.

“Penampilan yang sopan secara tidak langsung menggambarkan keperibadian seseorang selain menjadikan kita lebih selamat daripada sebarang usikan atau pandangan negatif orang lain khususnya lelaki,” katanya.


Pelajar jurusan Sains Kemanusiaan (Komunikasi), Sharifah Aishah Syed Hamzah, sebagai mahasiswa UIAM, penampilan sopan dan menutup aurat amat dititikberatkan dan jubah pastinya menjadi pilihan kegemaran mahasiswa.

“Jika sebelum ini saya tidak pernah memakai jubah, namun selepas bergelar mahasiswa UIAM, ia bukan sesuatu yang janggal untuk berjubah.

“Tidak kira sama ada mahasiswa itu daripada berlatar belakang pengajian apa sekalipun, jubah pasti menjadi antara pilihan fesyen yang dikenakan mahasiswa ketika mengikuti kelas atau berkumpul bersama rakan.

“Saya yakin kebanyakan mahasiswa perempuan UIAM memiliki sekurang-kurangnya satu jubah dalam koleksi pakaian mereka,” katanya.

Pendapat sama dikongsi kakaknya, Sharifah Fatimah Syed Hamzah yang mengakui kepelbagaian fesyen jubah dapat dilihat di UIAM, bukan saja dikalangan mahasiswa tempatan, malah mahasiswa antarabangsa khususnya dari Timur Tengah yang sememangnya menjadikan jubah sebagai pakaian harian mereka.

“Berjubah juga memenuhi tuntutan saya sebagai mahasiswa jurusan undang-undang yang hanya dibenarkan mengenakan baju kurung ataupun jubah ketika mengikuti kuliah.

“Alhamdulillah saya selesa dengan penampilan hari ini. Bagi saya, dengan penampilan berjubah juga secara tidak langsung mengingatkan diri sendiri supaya menjaga adab dan tingkah laku walau dimana kita berada,” katanya.

Sumber – Berita Harian – Varsiti

admin has blogged 84 posts in IIUMbloggers.
Blog URL: http://iiumbloggers.com

One Comment

  1. dayana says:

    that are good fashion..its inspiring me..TFS ya
    Visit me too at @ http://www.unand.ac.id/arsipua/datastaff/
    Trimakasih^^

Leave a Reply